Wahai kakakku...
Kenapakah lemah sungguh kaum hawa itu
Asyik berteman tangis dan sendu sahaja
Wahai adikku...
Bukan wanita itu lemah dek kerana tangis dan sendunya
Tetapi di situlah wahai adikku
Kekuatan bisa meleburkan ego seorang lelaki
Menjadi izzah yang paling gah
Bahkan lebih gah dari egonya seorang lelaki
Kerana sendu rayunya
Musa A.S. terselamat dari kekejaman firaun
Duhai adikku...
Lembut wanita itu bukan lemah
Tetapi senjata
Namun wahai kakakku...
Wanita itu fitnah dunia
Pernahkah adikku dengar...
Pesanan Illahi pada hambaNya?
Wahai lelaki-lelaki yang beriman
Tundukkanlah pandanganmu dan tutupkanlah auratmu
Cuba adik nilai...
Pada siapa terlebih dahulu Allah dahulukan pesananNya?
Pada hamba yang bergelar ar-rijal
Kerana andai si lelaki menjaga pandangannya
Maka tidak mungkin terlihat akan wanita yang menjadi fitnah pada dirinya
Dan, tidaklah Allah lupakan pesanan buat wanita
Agar memelihara auratnya
Kerana di situlah kehormatannya
Bukan fitnah semata-mata jikalau ar-rijal dan an-nisa’ sama-sama mematuhi pesanan Illahi itu!
Sesungguhnya wanita yang beriman yang solehah itu lebih baik dari ribuan lelaki yang soleh
Tapi kakakku...
Kenapa wanita itu menjadi peragaan?
Tidakkah mereka merasa malu??
Wahai adikku sayang...
Al-haya’ (sifat malu)
Ada dalam diri setiap insan
Wujudnya seiring dengan nafas insani
Dan al-haya’ itulah pakaian iman
Pada diri wanita itu indah al-haya’ sebagai pembenteng diri
Namun bilamana al-haya’ itu lebur
Imannya runtuh
Kenapa mereka merelakan diri menjadi peragaan?
Kerana mereka sebenarnya paranoid
Merasakan diri belum cukup menarik
Mereka yang sebenarnya yang kalah dari segi psikologi
Namun adikku...
Wanita solehah itu pasti melindung diri mereka dari perbuatan murahan itu
Wahai adikku...
1001 keindahan penciptaan wanita
Pandai-pandailah dikau menilai
Antara permata dan debu-debu kilauan pasir
Wahai adikku...
Janganlah adik gusar
Tatkala tiada lelaki yang hadir memetikmu
Dan jangan engkau sekali-kali
Merendahkan dirimu
Menggugurkan diri
Menyembah tanah
Sedangkan engkau sebenarnya
Telah Allah jadikan begitu tinggi martabatmu